comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia diniaga bercampur-campur pada sesi awal dagangan pagi Khamis, sejajar dengan prestasi semalaman Wall Street yang agak lesu di tengah-tengah sentimen serantau yang pelbagai.

Pada 9.09 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.72 mata kepada 1,447.82 daripada 1,453.54 penutup Rabu.

Indeks utama dibuka 4.32 mata rendah pada paras 1,449.22.
Kaunter untung mengatasi rugi 167 berbalas 135, manakala 241 yang lain tidak berubah, 1,791 tidak diniagakan dan sembilan digantung.

Jumlah dagangan 175.08 juta unit bernilai RM90.91 juta.
Walaupun inflasi AS meningkat kepada 3.7 peratus pada bulan Ogos berbanding jangkaan 3.6 peratus, pasaran masih mengharapkan agar Rizab Persekutuan akan mengekalkan kadar faedah bulan ini.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, meskipun bursa tempatan nampaknya disokong dengan baik pada masa ini, sentimen asas masih berhati-hati kerana jumlah dagangan harian masih lebih rendah daripada yang diingini.

Beliau berkata pasaran juga terus bimbang mengenai pemulihan ekonomi China walaupun pemaju Country Garden, antara pemaju hartanah swasta terbesar di negara itu, memperoleh penangguhan sementara daripada pemiutangnya untuk menangguhkan pembayaran bon.

“Namun begitu, kami mengunjurkan pengumpulan berterusan saham-saham mewah lambat laun akan turut memberikan kesan limpahan terhadap saham bermodal kecil lain. Untuk hari ini, kami menjangkakan indeks berlegar antara julat 1,450-1,460 sekali lagi,” katanya.

Loading...
Terkini