comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur seiring prestasi Wall Street

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia bercampur-campur ketika memulakan urus niaga pada Rabu, menjejaki prestasi semalaman Wall Street selepas mencatat aliran peningkatan ketara baru-baru ini.

Pada 9.05 pagi ini, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.28 mata kepada 1,450.82 daripada paras penutup pada 1,453.10.Indeks petunjuk utama itu dibuka turun 0.56 mata kepada 1,452.54.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 161 berbanding 149 manakala 284 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,634 tidak diniagakan dan 22 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 278.18 juta unit bernilai RM71.76 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata pasaran di Amerika Syarikat dijejaskan lagi oleh tindakan bank Britain Barclays menurunkan penarafan Apple yang disusuli dengan sahamnya merosot sebanyak tiga peratus.

Dow Jones naik 25 mata manakala Nasdaq susut 245 mata dan hasil Perbendaharaan 10 tahun AS meningkat kepada 3.94 peratus.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng memulakan tahun baharu 2024 dengan kurang memberangsangkan, dijejaskan oleh sentimen yang kekal berhati-hati berikutan data ekonomi terkini China yang memaparkan pemulihan tidak sekata dengan keyakinan keseluruhan masih lemah.

Dalam pada itu di peringkat tempatan, FBM KLCI diniagakan lebih rendah apabila dagangan kekal kurang memberangsangkan dalam prestasi serantau yang bercampur-campur.

Malah, beberapa khabar angin membabitkan senario politik terus menjejaskan minat terhadap pasaran saham tempatan.

“Bagaimanapun, kami percaya sekarang merupakan masa yang tepat untuk membeli beberapa saham perbankan dan pembinaan memandangkan banyak prospek berkaitan pekerjaan yang sedang dirancangkan.

Oleh itu, indeks utama dijangkakan bergerak dalam aliran 1,450-1,460 hari ini,” katanya,

Loading...
Terkini