comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia bergerak dalam aliran meningkat dalam sesi dagangan awal pada Isnin, menjejaki petunjuk positif Wall Street pada Jumaat, kata penganalisis.

Pada 9.06 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.79 mata kepada 1,594.38 daripada 1,589.59 yang dicatat pada Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 2.21 mata pada 1,591.80.

Di pasaran meluas, kaunter untung mendahului rugi iaitu 292 berbanding 128 manakala 301 kaunter tidak berubah, 1,594 tidak diniagakan dan 16 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 282.43 juta unit bernilai RM109.91 juta.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup tinggi selepas pengumuman data pekerjaan yang rendah berbanding jangkaan, sekali gus mengukuhkan persepsi peniaga untuk melihat tekanan inflasi lebih menyederhana yang boleh membawa kepada pelarasan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.

Di peringkat domestik, beliau berkata aliran peningkatan FBM KLCI terus ketara sejak pertengahan April susulan tindakan institusi tempatan dan dana asing membeli saham-saham mewah.

“Indeks petunjuk utama itu kini bergerak dalam julat paras tertinggi dalam tempoh 52 minggu, malah dijangka terus menunjukkan trend lebih tinggi yang disokong oleh penilaian munasabah.

“Kami percaya kemampuan untuk bergerak daripada paras 1,600 adalah diperlukan kerana ini juga merupakan rintangan yang yang sukar untuk diatasi (pada masa ini),” katanya Bernama.

Beliau turut menjangkakan indeks berkenaan mungkin menyaksikan aliran dalam julat antara 1,590-1,600 pada hari ini.

BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini