
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit hari ini berikutan kemunculan kegiatan pengambilan untung sederhana membabitkan saham wajaran tinggi terpilih, di tengah-tengah sentimen bercampur-campur di bursa serantau.
Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.93 mata kepada 1,459.69 daripada 1,460.62 pada penutup Rabu.
Indeks utama dibuka pada paras 1,459.98, turun sedikit sebanyak 0.64 mata.
Pergerakan harga di pasaran secara meluas menyaksikan kaunter rugi mendahului kaunter untung 202 berbalas 148, manakala 305 kaunter tidak berubah, 1,656 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.
Jumlah dagangan 393.26 juta unit bernilai RM131.31 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, dengan pergerakan negatif di Wall Street yang disebabkan oleh kebimbangan mengenai potensi kenaikan kadar faedah tahun ini serta kelembapan dalam aktiviti pembuatan di Jerman, aktiviti pengambilan untung dijangka merebak dan ini boleh mengehadkan potensi kenaikan harga di pasaran tempatan. – BERNAMA