comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan aktiviti pengambilan untung

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri kenaikan semalam apabila ditutup lebih rendah dalam dagangan awal hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung, mengambil petunjuk daripada kemerosotan semalaman di Wall Street, kata seorang penganalisis.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 3.30 mata kepada 1,421.89 daripada 1,425.19 pada Selasa.

Indeks utama itu dibuka rendah 3.22 mata kepada 1,421.97.
Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 182 berbanding 91, manakala 209 kaunter tidak berubah, 1,812 tidak diniagakan dan 25 lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan berjumlah 122.41 juta unit bernilai RM59.86 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata saham-saham Amerika Syarikat menyaksikan kemerosotan yang ketara disebabkan kebimbangan terhadap perbankan yang kembali tercetus dan sentimen berhati-hati di tengah-tengah minggu pendapatan teknologi.

“Kami percaya tekanan jualan mungkin melanda bursa serantau dan tempatan.

“Berikutan situasi berhati-hati di pasaran global, pelabur mungkin mengelakkan kaunter-kaunter teknologi terutamanya selepas Nasdaq merosot di bawah paras psikologi 12,000,” katanya.

Menurut firma penyelidikan itu, sektor-sektor seperti utiliti dan telekomunikasi mungkin menerima tarikan apabila pelabur mengalihkan tumpuan mereka terhadap saham-saham defensif.

“Sementara itu, saham-saham penjagaan kesihatan mungkin berada dalam radar peniaga untuk dagangan jangka pendek berikutan kes Covid-19 Arcturus yang dikesan di Malaysia,” katanya.

Loading...
Terkini