comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan pengambilan untung sederhana

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis susulan aktiviti pengambilan untung sejak semalam.

Pada 9.11 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.45 mata kepada 1,592.34 daripada 1,599.79 ketika ditutup pada Rabu, merosot di bawah paras utama 1,600.

Indeks penanda aras itu dibuka 3.52 mata lebih rendah kepada 1,596.27.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 280 berbanding 173, manakala 326 kaunter tidak berubah, 1,633 kaunter tidak diniagakan dan lima yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 422.43 juta unit bernilai RM150.26 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI meneruskan keadaan tidak banyak berubah, turun di bawah paras psikologi 1,600 ekoran pengambilan untung yang berterusan.

“Kami terkejut dengan kekurangan minat belian berlaku di bursa tempatan sejak akhir-akhir ini kerana menjangkakan beberapa pembelian semasa harga murah sekarang ini memandangkan indeks berada di bawah paras 1,600.

“Kami percaya keadaan pasaran masih positif dan menjangkakan indeks itu berada dalam aliran 1,600 hingga 1,610 hari ini, dengan minat berkemungkinan terhadap kaunter bank dan telekomunikasi,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata Wall Street ditutup untuk dagangan pada Rabu.

Bagaimanapun, niaga hadapan tiga indeks utama menunjukkan Purata Perindustrian Dow Jones ditutup rendah manakala Nasdaq dan S&P 500 mencatatkan kenaikan kecil. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini