comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dibuka rendah didorong kegiatan pengambilan untung 

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini rendah berikutan kemunculan kegiatan pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih di tengah-tengah sentimen berhati-hati di kalangan bursa serantau.

Pada 9.32 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.47 mata kepada 1,458.25 daripada 1,462.72 pada penutup Isnin.

Indeks utama dibuka 0.14 mata lebih rendah pada paras 1,462.58.

Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mendahului kaunter untung 287 berbalas 193, manakala 344 kaunter tidak berubah, 1,475 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan 843.32 juta unit bernilai RM245.72 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan pergerakan stabil akan berterusan dalam tempoh terdekat memandangkan Australia dan Malaysia dijadual mengumumkan keputusan kadar faedah masing-masing minggu ini.

Menurutnya peniaga juga akan memantau dengan teliti indeks pengurus pembelian (PMI) perkhidmatan China dan data eksport serta keluaran dalam negara kasar (KDNK) Australia yang akan dikeluarkan esok.

Sekiranya terdapat sebarang kelembapan selanjutnya dalam aktiviti ekonomi China, selera risiko dalam pasaran saham akan terus terjejas, jelasnya.

“Namun begitu, pemangkin domestik seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) mungkin mampu menyokong pasaran saham tempatan, sekurang-kurangnya untuk jangka masa terdekat,” katanya menerusi nota penyelidikan. – BERNAMA

Loading...
Terkini