comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dibuka rendah, pelabur berhati-hati menjelang PRU ke-15

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran menurun untuk dibuka rendah pada pagi urus niaga Selasa apabila peserta pasaran mengambil sikap “tunggu dan lihat”  menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata seorang penganalisis.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.55 mata kepada 1,459.45 daripada 1,464.00 penutup Isnin.

Indeks utama itu memulakan urus niaga 2.49 mata lebih rendah pada paras 1,461.51.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 145 berbalas 102, manakala 198 kaunter tidak berubah, 1,880 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 117.48 juta unit bernilai RM41.36 juta.

Dalam satu nota, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengulangi FBM KLCI dijangka mengekalkan keuntungan yang diraih baru-baru ini selepas bergerak naik daripada paras terendah dua tahun iaitu 1,373 menjelang hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November.

“Halangan sengit adalah pada 1,482 – 1,500 – 1,508. Pecahan yang menentukan di bawah garis rintangan aliran menurun berhampiran 1,454 mungkin menolak indeks lebih rendah ke arah zon 1,424 -1,436,” katanya.

Dengan mengambil pemuliharaan modal sebagai kunci utama, bank pelaburan itu berkata ia terus menyokong pelabur untuk mencari perlindungan dalam sektor perbankan, syarikat telekomunikasi, utiliti, pengguna, penjagaan kesihatan dan pembinaan, dengan menjangkakan kerajaan baharu selepas PRU15 akan terus menyokong penggunaan domestik. – BERNAMA

Loading...
Terkini