comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dibuka rendah, pelabur bimbang kelembapan ekonomi AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR : Bursa Malaysia rendah dalam dagangan awal hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi lemah semalaman di Wall Street berikutan keresahan peniaga terhadap potensi kelembapan ekonomi Amerika Syarikat di tengah-tengah kebimbangan mengenai kemelesetan baharu.

Pada 9.25 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.21 mata kepada 1,468.34 daripada 1,471.55 sewaktu ditutup pada Selasa.

Saham pandu pasaran dibuka rendah 0.09 mata kepada 1,471.46.

Di pasaran secara meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 313 berbanding 162, manakala 303 kaunter tidak berubah, 1,477 tidak diniagakan dan 10 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berada pada 416.46 juta unit bernilai RM184.16 juta

Dalam nota penyelidikan hari ini, Rakuten Trade Sdn Bhd berkata bursa tempatan telah bersedia untuk meningkat selepas merosot 30 mata sejak tiga hari lepas.

Malah, katanya kelonggaran sekatan COVID-19 secara berperingkat di China sewajarnya membawa petanda baik kepada prestasi pasaran serantau.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks akan bergerak dalam jajaran 1,470-1,490 hari ini dengan tumpuan mungkin terarah kepada saham-saham perladangan disebabkan harga minyak sawit mentah naik melebihi RM4,000 satu tan selepas berita mengenai cadangan biobahan api Indonesia yang berupaya mengurangkan bekalan eksport,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB dan TNB masing-masing meningkat tiga sen kepada RM5.60 and RM9.21, manakala Maybank dan Public Bank masing-masing susut dua sen kepada RM8.59 dan RM4.43, dan Petronas Chemicals dan IHH Healthcare masing-masing berkurangan satu sen kepada RM8.55 dan RM5.81.

Bagi saham aktif, Solution Group meningkat 2.5 sen kepada 34.5 sen, Infomina menokok empat sen kepada RM1.11, BCM Alliance naik setengah sen kepada 2.5 sen, Borneo Oil tidak berubah pada dua sen, Dataprep berkurangan 1.5 sen kepada 29.5 sen dan EC Integrated turun 1.5 sen kepada 87.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 21.24 mata kepada 10,561.76, Indeks FBMT 100 berkurangan 17.34 mata kepada 10,258.60, Indeks FBM Emas Shariah susut 28.07 mata kepada 10,739.61, FBM 70 menguncup 1.63 mata kepada 12,929.14, dan FBM ACE turun 11.83 mata kepada 5,487.66.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 2.70 mata kepada 6,727.73, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 20.12 mata kepada 16,419.30, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.97 mata kepada181.80 dan Indeks Tenaga susut 10.21 mata kepada 795.61. – BERNAMA

Loading...
Terkini