Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit, prestasi serantau turut lemah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kegiatan pengambilan untung sederhana membabitkan saham wajaran tinggi terpilih menyaksikan Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pada pagi dagangan Rabu selain bergerak seiring sentimen lemah bursa serantau, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.87 mata untuk mencatatkan paras 1,459.41 berbanding 1,460.28 pada penutup Selasa.

Indeks utama dibuka 1.25 mata lebih rendah pada 1,459.03.

Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 224 berbalas 155, manakala 298 kaunter tidak berubah, 1,663 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 362.11 juta unit bernilai RM129.38 juta.

Menurut Malacca Securities dalam nota penyelidikannya hari ini, ia menjangkakan indeks utama meningkat, didorong oleh persekitaran politik yang stabil serta aliran masuk dana asing yang tidak terganggu sepanjang tujuh sesi dagangan berturut-turut yang lepas.

Selain itu, pencarum aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebanyak 8.5 juta, tertinggi dalam sejarah turut menandakan pasaran pekerjaan yang teguh.

“Pada masa sama, pelabur akan sentiasa memantau minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat yang dijangka dapat memberikan petunjuk tambahan mengenai hala tuju kadar faedah dalam ekonomi terbesar dunia itu,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini