
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini walaupun pasaran Wall Street ditutup lebih kukuh semalaman menjelang keputusan mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.75 mata kepada 1,440.39 daripada penutupan Selasa pada 1,442.14.
Indeks penanda aras utama dibuka pada paras 1,441.17, turun 0.97 mata.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 154 berbalas 98 manakala 216 kaunter tidak berubah, 1,882 tidak diniagakan dan 14 digantung.
Jumlah dagangan 141.22 juta unit bernilai RM52.05 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, dalam keadaan perdebatan berterusan sama ada Rizab Persekutuan akan menaikkan kadar faedah, ramai pelabur menjangkakan bank pusat AS akan menghentikan kenaikan kadarnya di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi AS yang kukuh walaupun inflasi kekal pada paras tinggi.
Di dalam negara, paras FBM KLCI memberi isyarat bahawa penyertaan pasaran kekal suram dan untuk hari ini, indeks penanda aras diunjur berlegar dalam julat 1,440-1,450.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian peroleh 0.03 mata kepada 172.43 dan Indeks Perladangan meningkat 1.53 mata kepada 6,905.70.
Indeks Tenaga lemah 1.65 mata kepada 866.64 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 41.56 mata kepada 16,209.98. – BERNAMA