comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dibuka tidak berubah, sentimen serantau kekal berhati-hati

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini rendah sedikit, sejajar dengan sentimen lemah bursa serantau yang lain apabila pelabur mengambil sikap berhati-hati menjelang pengumuman data-data ekonomi utama di Amerika Syarikat dan China akhir minggu ini.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.27 mata kepada 1,443.18 daripada penutupan Isnin pada 1,443.45.

Indeks utama dibuka pada paras 1,442.79, turun 0.66 mata.

Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 184 berbalas 172, manakala 327 kaunter tidak berubah, 1,705 tidak diniagakan dan 12 digantung.
Jumlah dagangan 477.29 juta unit bernilai RM155.61 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, Wall Street mengakhiri kerugian selama empat hari berturut-turut semalaman walaupun terdapat kebimbangan terhadap persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi untuk tempoh yang lama selain jangkaan berlakunya potensi penutupan kerajaan AS.

Walaupun prestasi Wall Street yang positif, ia percaya peniaga akan kekal berhati-hati menjelang pengeluaran data keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS pada 28 Sept, ucapan pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell (29 Sept), data perbelanjaan penggunaan peribadi teras AS (29 Sept), serta data pembuatan indeks pengurus pembelian (PMI) China.

“Bagaimanapun, risiko penurunan sepatutnya terhad di pasaran tempatan kita dengan tumpuan pada Belanjawan 2024 akan datang,” kata firma pembrokeran itu dalam nota hari ini.

Mengenai fokus sektor, ia menjangkakan peniaga memberi fokus pada sektor yang lebih defensif seperti utiliti, manakala saham dengan dividen yang lebih tinggi mungkin diutamakan memandangkan sentimen berubah lebih berhati-hati menjelang pengeluaran data ekonomi.

“Kami meramalkan aktiviti perdagangan akan meningkat dalam sektor pembinaan dan bahan binaan menjelang Belanjawan 2024 dengan jangkaan projek infrastruktur mega akan diumumkan,” tambahnya. – BERNAMA

Loading...
Terkini