comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dibuka tinggi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka tinggi pada Khamis didorong oleh aktiviti belian yang meningkat berikutan keputusan oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah.

Pada 9.11 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.77 mata kepada 1,538.56 daripada 1,535.79 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 3.33 mata kepada 1,539.12

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 282 berbanding 139 manakala 273 kaunter tidak berubah, 1,642 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 232.83 juta unit bernilai RM114.44 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street meningkat berikutan ketiga-tiga indeks utama ditutup pada paras tertinggi selepas peniaga mengetahui bahawa Fed akan membuat susulan dengan tiga pelarasan pada kadar faedah sehingga pada akhir tahun.

Oleh itu, Dow Jones Index Average naik 401 mata manakala Nasdaq meningkat 203 mata dengan hasil 10 tahun AS merosot kepada 4.277 peratus.

Dalam negara, beliau menjangka indeks akan meningkat semula hari ini selepas mendapat gambaran yang lebih jelas daripada Fed semalaman.

“Justeru, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,540-1,550 hari ini, disokong oleh minat belian dalam sektor perbankan, pembinaan dan utiliti,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank berkurangan dua sen kepada RM9.55, Public Bank tidak berubah pada RM4.24 manakala CIMB menambah empat sen kepada RM6.52, Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM11.52 dan Petronas Chemicals meningkat tiga sen kepada RM6.86.

Bagi saham aktif, Eco World International naik dua sen kepada 36.5 sen, Eduspec meningkat setengah sen kepada 14 sen manakala TWL tidak berubah pada 3.5 sen.

Metronic dan Top Glove, masing-masing merosot setengah sen kepada 1.5 sen dan 85.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 28.01 mata kepada 11,512.97 dan Indeks FBMT 100 meningkat 25.44 mata kepada 11,164.32.

Sementara itu, Indeks FBM Emas Shariah menambah 32.06 mata kepada 11,594.08, Indeks FBM ACE naik 13.71 mata kepada 4,786.72 dan Indeks FBM 70 meningkat 51.39 mata kepada 15,857.54.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 12.22 mata kepada 17,136.40 dan Indeks Perladangan menambah 6.88 mata kepada 7,301.61.

Indeks Tenaga naik 3.04 mata kepada 939.71 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.82 mata kepada 178.06.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini