comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dibuka tinggi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini selepas hujung minggu yang panjang disebabkan cuti Tahun Baharu Cina, diniagakan secara berhati-hati, mengambil petunjuk daripada saham Amerika Syarikat (AS) yang ditutup sedikit berubah pada Selasa.

Pelabur masih menilai indeks pembuatan Federal Reserve Bank of Richmond yang lemah dan campuran keluaran pendapatan untuk hala tuju pasaran, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.07 mata kepada 1,500.40 daripada 1,500.33 pada Jumaat lepas.

Saham pandu pasaran dibuka tinggi 0.97 mata kepada 1,501.30.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 205 berbanding 94 manakala 232 kaunter tidak berubah, 1,665 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 110.87 juta unit bernilai RM55.52 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjangka aktiviti dagangan akan rendah berdasarkan minggu dagangan yang pendek disebabkan cuti umum berikutan kebanyakan pelabur masih bercuti.

Bagaimanapun, katanya dijangka terdapat pergerakan meningkat dengan peniaga mengambil kedudukan dalam aset berisiko susulan langkah mengejut Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Katanya dari segi komoditi, minyak mentah Brent merosot hampir pada sekitar US$86 setong manakala harga minyak sawit mentah (MSM) hampir RM3,900 satu tan.

“Bagi sektor yang menjadi tumpuan, sektor minyak dan gas serta perladangan dijangka mendapat minat dagangan dengan harga MSM mencatatkan tiga sesi peningkatan berturut-turut manakala minyak mentah Brent tinggi disebabkan permintaan yang tinggi daripada tema pembukaan semula.

“Selain itu, saham berkaitan pembinaan dan bahan binaan boleh menjadi lebih positif di bawah keadaan tenaga kerja yang bertambah baik,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini