KUALA LUMPUR: Unjuran pendapatan yang kukuh, sekali gus meningkatkan selera risiko pelabur selepas cuti hujung minggu yang panjang mendorong Bursa Malaysia didagangkan tinggi pada sesi awal urus niaga pagi ini.
Pada 9.09 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.87 mata kepada 1,447.05 daripada 1,445.18 penutup Jumaat.
Namun begitu, indeks utama dibuka 0.28 mata rendah pada paras 1,444.90.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 214 berbalas 136, manakala 314 kaunter tidak berubah, 1,715 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan 344.15 juta unit bernilai RM82.26 juta.
Menurut nota penyelidikan Malacca Securities Sdn Bhd, ia percaya peniaga akan mengekalkan pegangan masing-masing menjelang musim pelaporan prestasi kewangan tempoh sukuan yang melibatkan sektor pembinaan, hartanah, bahan binaan, utiliti dan pengguna, dengan menjangkakan keputusan yang lebih kukuh.
“Selepas cuti hujung minggu yang panjang, kami menjangka minat belian akan melimpah ke saham pasaran tempatan, terutamanya saham teknologi. Tumpuan juga mungkin beralih kembali kepada sektor minyak dan gas berikutan lantunan semula harga minyak,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata di pasaran luar negara, Wall Street ditutup bercampur-campur kerana peniaga menantikan indeks harga pengguna (CPI) Amerika Syarikat bulan Oktober untuk mengukur prospek kadar faedah Rizab Persekutuan lewat hari ini.