
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, mengambil petunjuk daripada penutupan semalaman Wall Street yang positif pada Jumaat.
Pada 9.26 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.86 mata kepada 1,456.79 daripada penutupan Jumaat pada 1,449.93.
Indeks penanda aras dibuka pada paras 1,452.39, mengukuh 2.46 mata.
Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas turut menyaksikan kaunter untung mendahului kaunter rugi 280 berbalas 168, manakala 293 kaunter tidak berubah, 1,610 tidak diniagakan dan 22 digantung.
Jumlah dagangan 442.87 juta unit bernilai RM179.26 juta.
Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, pasaran yang semakin baik seharusnya merangsang bursa tempatan hari ini, justeru, indeks utama dijangka berlegar dalam julat 1,450-1,460.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.79 mata kepada 172.50, Indeks Perladangan menambah 27.72 mata menjadi 6,980.97, Indeks Tenaga turun 0.90 mata kepada 874.58, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 66.77 mata kepada 16,365.65. – BERNAMA