comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dijangka catat prestasi luar biasa, FBM KLCI cecah 3,000 mata dalam tempoh 3 hingga 5 tahun

Tan Teng Boo pada taklimat media bertajuk “Adakah pelaburan di Malaysia masih menarik sekarang?” hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka mengalami pasaran bulis berpanjangan, dengan penanda aras FBM KLCI mencapai sekali ganda daripada paras semasa, antara 2,500 dan 3,000 mata dalam tiga hingga lima tahun.

Pengarah Urusan Capital Dynamics Asset Management Sdn Bhd, Tan Teng Boo berkata ini akan diterajui sektor elektrik dan elektronik terutama semikonduktor, selain disokong kestabilan politik dan prestasi ekonomi yang kukuh.

“Saya rasa di peringkat global Malaysia berada dalam keadaan baik. Di dalam negara, pastikan kita mempunyai kestabilan politik dan kerajaan memperkenalkan dasar jangka panjang yang baik yang boleh menangani beberapa masalah struktur.

“Kenapa tidak (capai pasaran bulis perpanjangan)? Kita pernah mempunyai pasaran meningkat dari 1974 hingga 1981, selama sekitar 7 tahun, mengapa kita tidak dapat mencapainya lagi? ,” katanya pada taklimat media mengenai pasaran saham bertajuk “Adakah pelaburan di Malaysia masih menarik sekarang?” hari ini.

Beliau juga menjangka China akan bertumbuh dengan baik tahun ini, sekali gus memberi limpahan kepada 120 negara dagangannya termasuk Malaysia.

“Saya percaya ekonomi China paling kukuh di dunia. Ia akan kembali pulih pada 2024 dan seterusnya dan Malaysia akan mendapat manfaat. Ketibaan pelancong dari China belum mencapai tahap seperti sebelum pandemik, kita masih belum melihat kesan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, ringgit mampu berlegar antara 4.2 dan 4.4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tahun ini apabila Rizab Persekutuan (Fed) menunrunkan kadar faedah, serta jangkaan kemelesetan ekonomi AS.

“Semuanya bergantung kepada Fed dan tiada kaitan dengan dasar ekonomi negara kita. Kejatuhan nilai mata wang dunia baru-baru ini bukan sahaja dirasai oleh ringgit, tetapi juga mata wang lain, termasuk yen Jepun yang menjunam 50 peratus, yang sepatutnya menjadi mata wang paling kukuh suatu masa dahulu,” jelas beliau.

Indeks penanda aras Bursa Malaysia meneruskan trajektori positif hari ini, mencatat paras tertinggi sejak Mei 2022 berikutan aktiviti belian kukuh dalam saham wajaran tinggi.

Pada jam 5 petang, FBM KLCI meningkat 11.20 mata kepada 1,558.80. Sementara itu, ringgit ditutup sedikit tinggi pada 4.7585 berbanding dolar AS.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini