comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dijangka cecah 1,600 mata akhir 2024

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Indeks penanda aras Bursa Malaysia, FBM KLCI dijangka berprestasi lebih baik pada 2024 dengan jangkaan pertumbuhan 10.5 peratus kepada 1,600 mata menjelang akhir tahun, kata Ketua Penyelidik Affin Hwang Investment Bank Bhd, Loong Chee Wei.

Beliau berkata, pihaknya lebih optimis terhadap prestasi pasaran tempatan tahun ini didorong oleh jangkaan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih kukuh 4.5 peratus pada 2024 dan jangkaan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Katanya, pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh akan memacu pertumbuhan pendapatan korporat yang lebih baik pada tahun ini.

“Tinjauan pasaran Malaysia bagi 2024 adalah positif. Kami optimis prestasi pasaran tahun ini dipacu pengukuhan ringgit dan pertumbuhan keluaran dalam negara (KDNK) yang kukuh.

“Justeru, kami menetapkan sasaran bulis bagi FBM KLCI kepada 1,600 mata menjelang akhir tahun ini berdasarkan sasaran nisbah pendapatan harga (PER) 15.6 kali,” katanya pada taklimat media mengenai tinjauan ekonomi makro 2024 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Chee Wei berkata, pihaknya melihat pemacu pasaran bagi tahun ini lebih bersifat tematik berikutan pelaksanaan pembaharuan struktur ekonomi dengan rasionalisasi subsidi.

Beliau berkata, perbelanjaan infrastruktur yang dipercepatkan dan kemajuan pelan peralihan tenaga akan menyokong prestasi pasaran.

Katanya, komitmen kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dan realisasi pelaburan juga akan merangsang sentimen yang lebih baik dalam pasaran tempatan.

“Dari segi posisi sektor, kami menaikkan penarafan kepada ‘wajaran tinggi’ bagi sektor perbankan, peladangan dan hartanah berbanding panggilan ‘neutral’ sebelum ini. Kami lebih positif prospek pertumbuhan 2024,” katanya.

Pasaran saham tempatan memulakan 2024 dengan memberangsangkan, didorong oleh aliran masuk pelabur asing sejak minggu pertama tahun ini.

Loading...
Terkini