
Oleh Afrina Romzi
PETALING JAYA: Pasaran saham tempatan dijangka menerima tempias positif daripada ketidaktentuan pasaran di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah ketika ini.
Ketua Penyelidikan, Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee berkata, ini apabila pelabur asing bertindak mempelbagaikan portfolio mereka dalam pasaran Asia termasuk Malaysia, yang dilihat lebih stabil.
“Sejumlah pelabur asing akan pertimbang untuk mempelbagaikan portfolio mereka terutama dalam sektor kewangan. Saya rasa mereka akan menjual (saham) perbankan di Barat dan kembali ke sini (Asia) untuk melihat bank-bank Asia yang lebih stabil,” katanya pada taklimat media Prospek Pasaran Malaysia Bagi Suku Kedua di sini, hari ini.
Tambah beliau, walaupun Malaysia bukan pasaran utama Asia, kesan aliran dana masuk itu turut akan dirasai pasaran tempatan.
Rakuten menjangka penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan mencecah 1,630 mata tahun ini.
Ia meletakkan saranan overweight bagi sektor perbankan, pembinaan, permainan serta Amanah Pelaburan Hartanah (REIT).
Dalam pada itu, ringgit turut diunjur tinggi, antara RM4.20 hingga RM4.10 berbanding dolar AS.
Firma broker itu turut menjangka Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus tahun ini.
Ini membolehkan aktiviti ekonomi tempatan menumpukan usaha mewujudkan kekayaan dan menarik dana asing daripada pertumbuhan.
Apabila dana asing mula masuk, tawaran dan permintaan ringgit juga dijangka akan menjadi lebih baik.