comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia diniaga tinggi dalam sesi awal dagangan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia tinggi dalam dagangan awal pada Selasa, didorong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah dalam saham mewah menjelang cuti panjang sempena sambutan Hari Raya.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 1.59 mata kepada 1,561.57 daripada 1,559.98 semalam. Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.07 mata kepada 1,559.91.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 225 berbanding 185 manakala 321 kaunter tidak berubah, 1,612 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 273.51 juta unit bernilai RM112.69 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks dijangka menerima tekanan hari ini berikutan bursa tempatan akan ditutup selama dua hari sempena perayaan Hari Raya.

“FBM KLCI mengekalkan aliran meningkatnya semalam, ditutup hampir kepada paras 1,560, paras tertinggi setakat ini. Kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,555-1,565 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Wall Street ditutup tidak berubah semalaman dalam sesi dagangan yang tidak menentu berikutan peniaga kekal tidak memasuki pasaran menjelang data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS pada Mac dan pekerjaan yang akan dikeluarkan pada Rabu dan Khamis ini.

“Sehubungan itu, Dow Jones Industrial (DJI) Average merosot 11 mata manakala Nasdaq menambah 5 mata. Hasil 10 tahun AS ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh lima bulan pada 4.422 peratus.

“Di Hong Kong, Indeks Hang Seng tidak berubah, dengan sentimen kekal berhati-hati menjelang data ekonomi utama dikeluarkan pada minggu ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini