comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia diniagakan agak tinggi pada sesi awal dagangan 

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat untuk dibuka lebih tinggi sedikit pada sesi dagangan awal Selasa walaupun Wall Street mempamerkan prestasi lemah semalaman apabila pelabur masih mencerna data ekonomi yang kurang menggalakkan daripada jangkaan menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) minggu depan.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.29 mata kepada 1,382.55 daripada 1,381.26 pada penutupan Jumaat.

Indeks utama itu memulakan dagangan pada paras 1,382.10, menokok 0.84 mata.

Pergerakan harga di pasaran secara meluas positif menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 209 berbalas 145, manakala 289 kaunter tidak berubah, 1,600 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 394.18 juta unit bernilai RM123.84 juta.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup pada 5 Jun 2023, sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata ia menjangka bursa tempatan akan menjejaki aliran menaik pasaran serantau, disokong oleh aktiviti memburu saham murah hari ini.

“Pelabur juga dilihat memantau keluaran dalam negara kasar (KDNK) Jepun dan zon Euro, serta kadar inflasi China untuk mengukur pergerakan kenaikan kadar faedah global,” katanya.

Firma pembrokeran itu mengunjurkan sektor kewangan akan menyaksikan pemulihan berikutan kemerosotan jualan minggu lepas manakala sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) dijangka menjadi tumpuan selaras dengan inisiatif kerajaan untuk memperluaskan penggunaan RE di Malaysia. -BERNAMA

Loading...
Terkini