comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini dengan indeks petunjuk pasaran turun bagi tiga hari berturut-turut semasa minggu dagangan yang singkat ini, menongkah arus berbanding prestasi kukuh indeks utama serantau, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.84 mata kepada 1,497.55 daripada paras penutup 1,498.39 pada Khamis.

Petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 1.58 mata kepada 1,499.97 dan bergerak antara paras 1,493.07 dan 1,500.91 sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun, di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 542 berbanding 385, manakala 403 kaunter tidak berubah, 917 tidak diniagakan dan 49 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.62 bilion unit bernilai RM2.42 bilion daripada 3.75 bilion unit bernilai RM2.03 bilion pada Khamis.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberi tahu Bernama bursa tempatan kekal berada dalam situasi penstabilan bagi minggu dagangan yang singkat ini apabila sentimen masih berhati-hati berikutan kekurangan pemangkin belian meskipun belian berterusan daripada institusi tempatan dan pelabur runcit.

“Kami melihat bahawa aktiviti belian beralih kepada saham permodalan kecil terutamanya dalam sektor pembinaan, pengangkutan dan tenaga.

“Prestasi indeks petunjuk pasaran masih lemah berbanding bursa serantau lain, dan pada masa yang sama menyediakan penilaian lebih murah yang memberi peluang belian bagi pelabur.

Di peringkat serantau, beliau berkata indeks utama diniagakan tinggi apabila para pelabur mencerna indeks harga pengguna (IHP) Tokyo yang meningkat 4.3 peratus, berkembang lebih pantas berbanding unjuran, menghampiri paras tertinggi bagi ibu kota Jepun itu sejak pertengahan-1981.

Sementara itu, pasaran Hong Kong terus meningkat apabila para pelabur kekal optimis dengan pembukaan semula ekonomi China, katanya.

Nikkei 225 Jepun naik 0.07 peratus kepada 27,382.56, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 0.76 peratus kepada 22,688.90, Kospi Korea Selatan menokok 0.62 peratus kepada 2,484.02 dan Indeks Straits Times Singapura menambah 0.34 peratus kepada 3,388.58.

Di pasaran tempatan, dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa, Maybank turun empat sen kepada  RM8.74, Public Bank dan Petronas Chemicals jatuh tiga sen setiap satu masing-masing kepada RM4.25 dan RM8.48, manakala CIMB menokok dua sen kepada RM5.74 dan Tenaga Nasional menambah tiga sen kepada RM9.55.

Dalam kalangan kaunter cergas, MMAG naik setengah sen kepada 2.5 sen, ATA IMS meningkat satu sen kepada 40.5 sen, Nylex menokok 11.5 sen kepada 54.5 sen, Velesto susut setengah sen kepada 22 sen dan Sapura Energy tidak berubah pada lima sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 12.44 mata kepada 10,893.36, Indeks FBMT 100 menokok 9.81 mata kepada 10,563.91, Indeks FBM Emas Shariah menambah 28.42 mata kepada 11,177.55.

Indeks FBM 70 melonjak 80.37 mata kepada 13,759.84 dan Indeks FBM ACE naik  43.64 mata kepada 5,731.23.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat sebanyak 0.22 mata kepada 190.77, Indeks Tenaga naik 10.12 mata kepada 880.76, Indeks Perladangan susut 2.38 mata kepada 6,841.23 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 33.60 mata kepada 16,470.19.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.88 bilion saham bernilai RM2.02 bilion berbanding 2.37 bilion saham bernilai RM1.62 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 419.36 juta unit bernilai RM57.86 juta daripada 410.29 juta unit bernilai RM59.90 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 1.32 bilion saham bernilai RM345.66 juta daripada 969.87 juta saham bernilai RM344.36 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 392.30 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (901.28 juta); pembinaan (106.78 juta); teknologi (530.42 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (73.18 juta); hartanah (167.14 juta); perladangan (37.67 juta); REITs (9.18 juta), dana tertutup (23,800); tenaga (502.97 juta); penjagaan kesihatan (59.52 juta); telekomunikasi dan media (44.68 juta); pengangkutan dan logistik (43.48 juta); dan utiliti (14.81 juta).

BERNAMA

Loading...
Terkini