comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur berikutan pengambilan untung saat akhir

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur dengan indeks penanda aras tempatan mencecah paras terendah dalam sehari ketika ditutup hari ini, didorong oleh pengambilan untung saat akhir dalam kaunter telekomunikasi dan media terpilih.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.50 mata kepada 1,451.94 daripada 1,454.44 ketika ditutup semalam.

Indeks barometer dibuka 1.79 mata lebih kukuh pada 1,456.23 dan naik sedikit kepada 1,462.80 sepanjang sesi dagangan.

Pada keseluruhan pasaran, kedua-dua kaunter untung dan rugi adalah sama pada 499, 423 tidak berubah, 957 tidak diniagakan dan 70 yang lain digantung.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada 31 Ogos 2023 (Khamis) untuk sambutan Hari Kebangsaan dan akan beroperasi semula pada Jumaat, 1 Sept 2023.
Jumlah dagangan meningkat kepada 4.90 bilion unit bernilai RM4.75 bilion berbanding 4.02 bilion unit bernilai RM2.85 bilion semalam.

Kaunter Axiata dan CelcomDigi merupakan dua penyumbang utama aliran menurun indeks penanda aras tempatan, masing-masing turun 22 sen dan lima sen kepada RM2.36 dan RM4.38.

Kedua-dua kaunter itu menyeret turun indeks komposit dengan gabungan 4.25 mata.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama itu bergerak lebih tinggi berikutan petunjuk positif daripada Wall Street semalaman.

“Prestasi yang lebih baik di Wall Street berikutan penerbitan data ekonomi Amerika Syarikat baharu, yang memainkan peranan dalam mengurangkan kebimbangan mengenai situasi kadar faedah akan datang.

“Sementara itu, dalam usaha yang diarahkan oleh kerajaan untuk meningkatkan pertumbuhan dalam ekonomi kedua terbesar di dunia itu, bank terbesar China bersedia untuk mengurangkan kadar faedah ke atas gadai janji dan deposit sedia ada,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat domestik, Thong kekal optimis bagi penggal pertengahan berikutan mendapat sokongan padu daripada dana asing, namun beliau menjangkakan dagangan akan lengang menjelang hujung minggu sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Justeru, beliau melihat FBM KLCI berkemungkinan berada dalam julat 1,455-1,465.

Loading...
Terkini