comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup kukuh, didorong belian semasa harga murah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Khamis, didorong aktiviti pembelian semasa harga murah yang muncul susulan pengambilan untung pada Selasa.

Penganalisis berkata bursa tempatan menongkah aliran serantau yang kebanyakannya mencatatkan prestasi rendah apabila pelabur masih meneliti keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) pada Rabu yang memutuskan kadar faedah utama dikekalkan tidak berubah.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.33 mata atau 0.28 peratus kepada 1,580.30 daripada 1,575.97 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras dibuka satu mata lebih rendah kepada 1,574.97 dan bergerak di antara 1,574.27 dengan 1,582.68 sepanjang dagangan hari ini.

Walau bagaimanapun, bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 620 berbanding 530, manakala 464 kaunter tidak berubah, 676 kaunter tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 3.81 bilion unit bernilai RM3.06 bilion daripada 4.18 bilion unit bernilai RM3.75 bilion pada Selasa.

Peniaga berkata Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini sebelum mengalami pergerakan bercampur-campur pada pertengahan pagi apabila indeks barometer bergerak ke wilayah positif dan seterusnya ditutup tinggi, disokong oleh belian dalam saham wajaran tinggi terpilih.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama bergerak dalam aliran lebih rendah berikutan petunjuk bercampur-campur dari Wall Street dalam tempoh semalaman.

Beliau berkata namun begitu, bursa Hong Kong mencatatkan kenaikan kukuh apabila pelabur menyambut baik pemansuhan sekatan tambahan ke atas pasaran hartanah.

Pada masa sama, pembuat kenderaan elektrik China meningkat ketara selepas mencatatkan angka penghantaran yang kukuh untuk April, dengan Nio Inc mendahului peningkatan itu dengan penghantaran naik lebih sekali ganda daripada tahun lepas, katanya.

“Di peringkat domestik, pandangan kami terhadap pasaran ekuiti tempatan kekal optimis, disokong oleh penilaian yang menarik dan aliran masuk asing yang stabil.“

Oleh itu, kami menjangkakan indeks penanda aras bergerak dalam julat 1,580 hingga 1,590 menjelang hujung minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini