comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup kukuh, indeks komposit naik 0.59 peratus

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup kukuh hari ini, menongkah arus berbanding prestasi pasaran serantau yang kebanyakannya rendah, disokong oleh belian berterusan dalam saham utiliti dan teknologi, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 9.29 mata atau 0.59 peratus kepada 1,589.59 daripada paras penutup 1,580.30.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 1.29 mata kepada 1,581.59 dan bergerak antara paras 1,581.59 dan 1,590.56 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 621 berbanding 414, dengan 460 kaunter tidak berubah, 803 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.87 bilion unit bernilai RM3.15 bilion daripada 3.81 bilion unit bernilai RM3.06 bilion pada Khamis.

Pengurus portfolio dan ketua penyelidikan dan penasihat harta UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI meningkat susulan daripada aliran menurun dolar ketika ini.

Beliau berkata, momentum ini mendapat rangsangan daripada pelarasan meningkat unjuran kadar Rizab Persekutuan oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (AS), yang memberikan lagi tekanan kepada dolar.

“Selain itu, sektor teknologi menerajui kenaikan pasaran hari ini, mendapat rangsangan daripada prestasi memberangsangkan Apple pada suku pertama 2024 dan pelancaran program pembelian balik saham US$110 bilion, di samping pelaburan besar Microsoft di Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 1.48 peratus kepada 18,475.92, Indeks Komposit SSE China turun 0.26 peratus kepada 3,104.82, Kospi Korea Selatan susut 0.26 peratus kepada 2,676.63 dan Indeks Straits Times Singapura jatuh 0.12 peratus kepada 3,292.93.

Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi Maybank dan Public Bank naik dua sen setiap satu masing-masing kepada RM9.80 dan RM4.12, CIMB meningkat satu sen kepada RM6.65, Tenaga Nasional naik 30 sen kepadaRM12.32,manakala IHH Healthcare susut empat sen kepada RM6.29.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini