comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi, teruskan peningkatan

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi pada Khamis berikutan kembalinya aktiviti pembelian susulan aktiviti pengambilan untung pada Selasa, kata peniaga.

Pasaran ditutup semalam berikutan cuti Wesak.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 7.09 mata, atau 0.44 peratus, kepada 1,629.18 daripada 1,622.09 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka 1.43 mata lebih rendah kepada 1,620.66, bergerak antara 1,620.66 dan 1,632.79 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 732 kepada 521, dengan 504 kaunter tidak berubah, 632 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 6.2 bilion unit bernilai RM4.67 bilion berbanding 5.42 bilion unit bernilai RM4.22 bilion pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, saham teknologi meningkat, dirangsang oleh pendapatan kukuh pembuat cip Amerika, Nvidia sekali gus mengukuhkan keyakinan mengenai permintaan teguh daripada sektor kecerdasan buatan.

“Dalam pada itu, pelabur tidak terlalu berharap kepada pengurangan kadar (faedah) global tahun ini berikutan data yang lebih cenderung untuk menaikkan kadar faedah berbanding jangkaan daripada mesyuarat dasar terbaharu Rizab Persekutuan AS,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata beliau kekal optimis terhadap bursa tempatan berikutan sokongan teguh daripada dana asing di samping kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan pasaran ekuiti serantau dan global yang semakin meningkat.

“Kami menjangkakan aliran FBM KLCI dalam julat 1,625-1,640 menjelang akhir minggu ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini