
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri penurunan selama tiga hari berturut-turut apabila ditutup di paras tertinggi harian pada Selasa, didorong aktiviti pembelian semasa harga murah susulan penjualan besar-besaran baru-baru ini.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.48 mata kepada 1,463.40 daripada 1,456.92 ketika ditutup semalam.
Indeks barometer itu dibuka 1.21 mata lebih tinggi kepada 1,458.13 namun susut serendah 1,456.16 ketika sesi pagi sebelum meningkat kepada 1,463.40 semasa jam dagangan terakhir, disokong oleh pembelian pada saat-saat akhir.
Lingkungan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 500 berbanding 411, manakala 472 kaunter tidak berubah, 991 kaunter tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.66 bilion unit bernilai RM2.11 bilion daripada 3.23 bilion unit bernilai RM1.70 bilion pada Isnin.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade, Thong Pak Leng menjangkakan prospek pasaran tempatan kekal stabil, dipacu oleh keuntungan korporat yang bertambah baik dan kekukuhan asas ekonomi.
“Bagi bursa tempatan, kami menasihatkan pelabur supaya kekal berhati-hati sebelum minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) dikeluarkan,” katanya kepada Bernama.
Minit mesyuarat yang dijadual dikeluarkan lewat hari ini itu mengandungi pandangan terperinci berkaitan pendirian FOMC terhadap dasar monetari menjadi petunjuk bagi pelabur mengenai kadar faedah masa hadapan.
Thong juga berkata FBM KLCI dijangka berada dalam aliran berjulat 1,450 hingga 1,470 bagi baki tempoh minggu ini. – BERNAMA