comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup rendah, akhiri peningkatan dua hari berturut-turut

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menutup dagangan pada paras harian terendah hari ini, mengakhiri peningkatan dua hari berturut-turut berikutan pelabur teragak-agak untuk membuat keputusan penting menjelang laporan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang akan datang.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 2.65 mata atau 0.17 peratus kepada 1,603.23 berbanding 1,605.88 semasa ditutup semalam.

Indeks barometer dibuka rendah 0.13 mata kepada 1,605.75 dan mencapai paras harian tertinggi pada 1,607.64 semasa sesi dagangan lewat pagi.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 579 berbanding 574, dengan 475 kaunter tidak berubah, 740 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 6.20 bilion unit bernilai RM4.69 bilion daripada 4.69 bilion unit bernilai RM3.19 bilion pada Selasa.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang dijadual diumumkan lewat hari ini adalah penting untuk membuat keputusan mengenai kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) pada masa akan datang.

“Keraguan timbul berikutan data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS adalah lebih kukuh berbanding jangkaan semalam, menyebabkan ketidakpastian terhadap jarak masa potensi pengurangan kadar Fed,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata, dari segi teknikal, petunjuk pasaran FBM KLCI memperlihatkan daya tahan apabila kekal melebihi paras 1,600, disokong oleh pengumpulan saham mewah yang konsisten.

Oleh itu, beliau menjangkakan indeks akan berubah-ubah antara 1,600 dan 1,614 minggu ini, dengan paras sokongan kekal stabil pada 1,575 dan 1,560, serta rintangan pada 1,614 dan 1,635.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini