
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan penurunan semalam untuk ditutup rendah sedikit hari ini berikutan pengambilan untung berterusan dalam kaunter perkhidmatan kewangan terpilih serta produk dan perkhidmatan perindustrian, sejajar dengan sentimen lemah di bursa serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.89 mata kepada 1,446.09 daripada 1,447.98 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks barometer itu dibuka 1.25 mata lebih tinggi pada 1,449.23, paras tertinggi intra harinya, dan mencecah paras rendah 1,442.26 pada sesi tengah hari.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 552 kepada 380 manakala 435 kaunter tidak berubah, 981 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 3.19 bilion unit bernilai RM2.12 bilion daripada 4.34 bilion unit bernilai RM2.56 bilion pada Khamis.