comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup rendah berikutan aktiviti pengambilan untung

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia melepaskan keuntungan sebelum ini untuk ditutup rendah walaupun terdapat peningkatan dalam pasaran serantau selepas pelabur-pelabur tempatan terus mengambil keuntungan, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.13 mata atau 0.07 peratus kepada 1,618.27 berbanding 1,619.40 yang dicatatkan semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks penanda aras, yang dibuka 1.27 mata lebih tinggi pada 1,620.67, turun naik antara 1,617.98 dan 1,622.40 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran yang lebih meluas, kaunter rugi mengatasi untung pada 682 berbanding 530 dengan 486 kaunter tidak berubah, 709 tidak diniagakan dan 25 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.64 bilion unit bernilai RM3.92 bilion daripada 5.61 bilion unit bernilai RM4.58 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama ditutup kebanyakannya lebih tinggi dengan pembelian yang agak signifikan pada saham-saham cip komputer dan semikonduktor berikutan laporan keuntungan daripada Nvidia.

Selain itu, beliau berkata pasaran China dan Hong Kong terus disemarakkan susulan langkah rangsangan Beijing baru-baru ini.

Di peringkat serantau pula, Nikkei Jepun 225 naik 0.66 peratus kepada 38,900.02, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 1.17 peratus kepada 18,827.35, Kospi Korea Selatan melonjak 1.32 peratus kepada 2,722.99 dan Indeks Komposit SSE Shanghai memperoleh 1.14 peratus kepada 3,124.04.

“Di bursa tempatan, kami percaya aktiviti pemburuan tawar-menawar akan muncul dengan didorong oleh pendapatan korporat yang lebih baik serta kestabilan ekonomi tempatan.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks penanda aras akan berada dalam jajaran 1,615-1,635 untuk minggu ini dengan rintangan serta-merta pada 1,635 dan sokongan pada 1,610,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM9.99, Tenaga Nasional menokok 12 sen kepada RM13.22, CIMB melonjak dua sen kepada RM6.90, manakala Public Bank susut empat sen kepada RM4.13 dan Petronas Chemicals turun enam sen kepada RM6.87.

Bagi saham aktif, Dagang NeXchange serta Powerwell meningkat dua sen, masing-masing kepada 47 sen dan 48.5 sen, AHB Holdings menambah satu sen kepada 20 sen dan JCY International merekodkan keuntungan sebanyak 6.5 sen kepada 51.5 sen, Pegasus Heights pula tidak berubah pada setengah sen.

Di kalangan kaunter untung, Dutch Lady Milk Industries mengukuh 76 sen kepada RM33.76, Chin Hin Group menambah 24 sen kepada RM3.44, Kluang Rubber Co (Malaya) meningkat 22 sen kepada RM6.48, Hong Leong Industries naik 20 sen kepada RM12.00 dan Vitrox Corp adalah lebih baik sebanyak 18 sen kepada RM7.88.

Antara yang rugi, Nestle susut 60 sen kepada RM127.40, Heitech Padu kehilangan sebanyak 50 sen kepada RM1.92, Heineken Malaysia turun 26 sen kepada RM24.30, Malaysia Smelting Corp jatuh 25 sen kepada RM2.95 dan MSM Malaysia Holdings merosot 24 sen kepada RM2.61.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menyaksikan penurunan 6.71 mata kepada 12,347.12, Indeks FBMT 100 hilang 3.96 mata kepada 11,944.29 dan Indeks FBM Emas Shariah rugi sebanyak 4.70, manakala Indeks FBM Emas Shariah susut 4.70, Indeks FBM 70 pula naik 11.80 mata kepada 17,803.75 dan Indeks FBM ACE meningkat 5.77 mata kepada 5,549.92.

Secara sektoral, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 30.65 mata kepada 17,658.34, Indeks Tenaga merekodkan penurunan 2.12 mata kepada 999.41, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.16 mata kepada 196.49 dan Indeks Perladangan turun 44.30 mata kepada 7,258.08.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menokok kepada 3.29 bilion unit bernilai RM3.33 bilion berbanding 3.28 bilion unit bernilai RM4.02 bilion yang dicatatkan pada Jumaat lepas.

Jumlah waran pula berkurangan kepada 1.20 bilion unit bernilai RM191.64 juta daripada 1.26 bilion unit bernilai RM163. 70 juta.

Volum Pasaran ACE meningkat kepada 1.14 bilion saham bernilai RM400.33 juta daripada 1.05 bilion saham bernilai RM389.29 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 753.56 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (427.95 juta), pembinaan (282.98 juta), teknologi (643.49 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (103.25 juta), hartanah (412.13 juta), perladangan (46.96 juta), REIT (18.67 juta), dana tertutup (48,800), tenaga (221.18 juta), penjagaan kesihatan (143.35 juta), telekomunikasi dan media (41.74 juta), pengangkutan dan logistik (102.28 juta), utiliti (91.23 juta) serta perniagaan amanah (935,000).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini