
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada urusniaga pertama November berikutan data Indeks Pengurus Pembelian (IPP) yang lemah pada Oktober, mencatatkan penguncupan 14 bulan berturut-turut, kata seorang penganalisis.
Menurut S&P Global Market Intelligence, pelarasan bermusim terkini PMI Pembuatan S&P Global Malaysia tidak berubah pada 46.8 pada Oktober, dengan laporan menunjukkan bahawa firma terus bergelut dengan kelemahan permintaan, di dalam dan di luar negara.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 0.47 peratus lebih rendah, atau 6.81 mata kepada 1,435.33 daripada 1,442.14 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.97 mata lebih rendah pada 1,441.17 dan bergerak antara 1,434.93 dan 1,441.59 sepanjang sesi dagangan.
Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 562 daripada 319, manakala 401 kaunter tidak berubah, 1,068 tidak diniagakan dan 14 digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 2.79 bilion unit bernilai RM1.79 bilion daripada 2.99 bilion unit bernilai RM1.85 bilion semalam.
Ketua Penyelidik Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata selain itu, sentimen berhati-hati pelabur tercetus menjelang keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) lewat hari ini.
Kelemahan dalam saham wajaran tinggi minyak dan gas juga ketara berikutan harga minyak menurun sejak dua hari lepas.
Firma pembrokeran menjangkakan suasana pasaran itu berterusan memandangkan ketidaktentuan yang berterusan merentas pasaran global, ditambah dengan ketiadaan petunjuk domestik baharu.
“Pelabur akan memantau perkembangan daripada Fed malam ini untuk mendapatkan petunjuk mengenai arah kadar faedah. Di dalam negara, pelabur juga akan memerhatikan keputusan kadar faedah Bank Negara Malaysia yang akan diumumkan esok pada 3 petang,” katanya kepada Bernama.
Leong berkata, secara teknikal, FBM KLCI telah membentuk aliran menurun apabila indeks utama itu mengakhiri semua kenaikan sesi sebelumnya tetapi masih kekal pada paras 1,430 dan 1,446.
“Sekiranya ia tidak dapat bertahan pada 1,430, paras sokongan jangka terdekat dilihat pada 1,424. Tetapi, jika indeks utama meningkat melepasi 1,446, paras rintangan berada pada 1,464 dan 1,488,” katanya. — BERNAMA