comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menongkah arus pasaran serantau untuk ditutup rendah sedikit hari ini selepas cuti hujung minggu yang panjang susulan aktiviti pengambilan untung dalam kaunter wajaran tinggi terpilih, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.88 mata kepada 1,499.45 daripada paras penutup 1,500.33 pada Jumaat minggu lepas.

Petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 0.97 mata kepada 1,501.30 dan bergerak antara paras 1,494.73 dan 1,501.86 sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun, suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 578 berbanding 262, manakala 399 kaunter tidak berubah, 957 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.83 bilion unit bernilai RM1.68 bilion daripada 2.34 bilion unit bernilai RM1.71 bilion sebelumnya.

Seorang peniaga berkata bursa tempatan dibuka tinggi hari ini dalam dagangan berhati-hati sebelum turun pada sesi pertengahan pagi berikutan pengambilan untung.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberi tahu Bernama jumlah dagangan yang diniagakan di Bursa Malaysia kecil hari ini berikutan kekurangan minat belian apabila kebanyakan pelabur masih bercuti sempena perayaan Tahun Baru Cina.

“Bagaimanapun, pasaran utama serantau kebanyakannya tinggi walaupun dagangan tidak aktif kerana pasaran China dan Hong Kong masih ditutup sempena cuti perayaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Wall Street ditutup bercampur-campur semalaman berikutan prestasi keputusan korporat kurang memberangsangkan yang mencerminkan pertumbuhan perlahan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan kemungkinan akan menyebabkan Rizab Persekutuan AS (Fed) memperlahankan kenaikan kadarnya.

“Di pasaran tempatan kami menjangkakan dagangan yang lengang sepanjang minggu ini kerana perniagaan dan kebanyakan pelabur masih dalam suasana perayaan, oleh itu kami menjangka FBM KLCI bergerak dalam jajaran 1,490 hingga 1,505,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini