comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit pada hari pertama dagangan 2024

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit pada hari pertama dagangan 2024 berikutan kekurangan minat belian di tengah-tengah prestasi lemah pasaran di seluruh rantau ini, kata seorang peniaga.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau kebanyakannya rendah susulan petunjuk negatif daripada Wall Street pada Jumaat minggu lepas.

Pada 5 petang hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup rendah turun 0.10 peratus atau 1.56 mata kepada 1,453.10 daripada paras penutup 1,454.66 sebelumnya.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah turun 2.46 mata kepada 1,452.20, bergerak antara jajaran 1,446.36 dan 1,453.56 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran bagaimanapun kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 512 berbanding 463, manakala 399 kaunter tidak berubah, 854 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.91 bilion unit bernilai RM2.00 bilion daripada 4.67 bilion unit bernilai RM2.96 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Thong berkata selain itu, peningkatan ketegangan di Timur Tengah susulan tindakan Iran yang mengerahkan kapal perangnya ke Laut Merah, turut menjejaskan sentimen pelabur.

Sementara itu, katanya tumpuan pasaran terarah kepada beberapa data yang dijadual diumumkan minggu ini yang akan menyediakan gambaran jelas berkaitan kelonggaran dasar monetari yang akan dilaksanakan oleh bank-bank pusat utama dan potensi penurunan kadar.

“Bagi bursa tempatan, kami melihat penurunan hari ini sebagai peluang baik untuk aktiviti membeli saham berharga rendah apabila penilaian ekuiti tempatan masih kekal menarik terutamanya dalam kalangan saham mewah.

“Oleh itu kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran mencatatkan lantunan semula tidak lama lagi dan mengunjur ia berlegar dalam jajaran 1,450-1,470 bagi minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Loading...
Terkini