comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit, tetapi kekal di atas paras 1,600 mata

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia (FBM KLCI) ditutup rendah sedikit hari ini tetapi masih kekal di atas paras utama 1,600 mata, di tengah-tengah petunjuk yang bercampur-campur daripada prestasi pasaran serantau, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, FBM KLCI turun 0.22 peratus atau 3.53 mata kepada 1,601.22 berbanding 1,604.75 pada penutup Rabu.

Indeks petunjuk utama, yang dibuka meningkat 1.46 mata kepada 1,606.21, jatuh ke paras rendah 1,599.29 sebelum rehat tengah hari, selepas mencecah paras tertinggi 1,607.38 ketika sesi pagi.

Bagaimanapun, di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 601 berbanding 458, manakala 532 kaunter tidak berubah, 737 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan menyusut kepada 4.65 bilion unit bernilai RM3.13 bilion daripada 5.39 bilion unit bernilai RM3.57 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata bursa tempatan menyaksikan peningkatan dalam aktiviti pengambilan untung selepas Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus hari ini.

“Melihat ke hadapan, kami menjangkakan pengukuhan akan terbentuk apabila pelabur mencerna kenaikan baru-baru ini sambil menunggu keputusan pendapatan korporat yang bakal diumumkan pada minggu-minggu akan datang,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata memandangkan aktiviti pengambilan untung berterusan, pelabur telah mengalihkan perhatian mereka kepada saham-saham bermodal kecil.

“Kami percaya keadaan pasaran akan kekal positif, berdasarkan kenaikan dalam saham-saham bermodal kecil,” tambahnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM9.84, CIMB meningkat satu sen kepada RM6.75, Tenaga Nasional menokok empat sen kepada RM12.44, Petronas Chemicals naik dua sen kepada RM7, manakala Public Bank susut tiga sen kepada RM4.17.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini