comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup rendah susulan aktiviti pengambilan untung

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit hari ini di tengah-tengah aktiviti pengambilan untung yang berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih dan sentimen bulis di pasaran serantau, kata para peniaga.

Pada 5 petting, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.71 mata untuk ditutup kepada 1,462.72 daripada paras 1,463.43 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 0.64 mata kepada 1,464.07 dan bergerak antara paras 1,460.84 dan 1,465.93 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 526 berbanding 489, dengan 404 kaunter tidak berubah, 896 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 4.01 bilion unit bernilai RM2.37 bilion daripada paras penutup 4.65 bilion unit bernilai RM3.08 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup rendah berikutan aktiviti pengambilan untung semasa minit-minit akhir dagangan.

“Sementara itu, indeks utama serantau bergerak dalam aliran meningkat, mendapat rangsangan daripada keyakinan terhadap China.

Semua perhatian tertumpu kepada Beijing bagi melihat langkah seterusnya negara itu untuk meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi, terutamanya sebarang langkah yang disasarkan untuk meningkatkan pasaran hartanah.

“Pada masa yang sama, para pelabur juga menunggu data China bagi minggu ini, susulan pengumuman data indeks pengurus pembelian pada minggu lepas yang menunjukkan sedikit peningkatan dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu,” katanya kepada Bernama.

Di dalam negara, meskipun aktiviti pengambilan untung, Thong berkata sentimen pasaran dijangka kekal kukuh memandangkan sokongan padu daripada institusi tempatan, belian asing dan peningkatan penyertaan runcit. – BERNAMA

Loading...
Terkini