
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Isnin dengan lebih rendah akibat aktiviti pengambilan untung secara sederhana selepas meraih peningkatan pada Jumaat lepas, kata penganalisis.
Pada 5 petang, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.04 mata kepada 1,457.99 daripada 1,459.03 yang dicatat pada Jumaat lalu.
Pasaran secara meluas kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 498 berbanding 468 manakala 396 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,011 tidak diniagakan dan 23 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.38 bilion unit bernilai RM2.12 bilion daripada 4.02 bilion unit bernilai RM4.31 bilion pada Jumaat.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kebanyakan indeks utama serantau juga berada dalam wilayah negatif ketika pelabur mengikuti rapat perkembangan bank-bank pusat berkaitan kadar faedah masing-masing.
Bank pusat China, People’s Bank of China (PBOC) dijadual mengumumkan keputusan berkaitan kadar utama pinjamannya pada Rabu manakala Bank of Japan (BOJ) pula dijadual bermesyuarat pada Jumaat.
“Bagaimanapun, konsensus atau jangkaan ramai yang ketara di pasaran menjangkakan bank-bank pusat itu akan bertindak memastikan kadar faedah semasa masing-masing kekal rendah.
“Bagi bursa tempatan, kami percaya aktiviti jualan hari ini sebaliknya memberi peluang kepada pelabur untuk membeli saham-saham pada kadar lebih rendah, terutama kaunter minyak dan gas,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, Thong menjangkakan FBM KLCI untuk bergerak dalam jajaran 1,450 hingga 1,465 pada minggu ini.
Dari sudut teknikal, indeks penanda aras itu telah membentuk paras sokongan baharu pada 1,445 daripada 1,440 sebelum ini manakala paras rintangan kekal tidak berubah pada 1,465, katanya. – BERNAMA