comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup rendah susulan pasaran tunggu pembentukan kerajaan baharu

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meredakan sebahagian besar penurunan awalnya untuk ditutup sedikit rendah pada Isnin, berikutan ketidakpastian mengenai pembentukan kerajaan baharu terus menjejaskan sentimen pasaran.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran susut 1.36 mata atau 0.09 peratus untuk berakhir pada paras tertinggi harian 1,447.96 daripada 1,449.32 ketika ditutup pada Khamis minggu lepas.

Indeks utama itu dibuka 14.77 mata lebih rendah kepada 1,434.55 sebelum bergerak dalam wilayah penurunan sepanjang hari ini dengan tumpuan kekal terarah kepada hasil rundingan antara pelbagai parti politik.

Penjualan besar-besaran pada sebelah pagi menyebabkan FBM KLCI merosot sebanyak 21.31 mata kepada paras terendah harian 1,427.75 pada satu ketika, sebelum bergelut dengan turun naik untuk meningkat secara berterusan bagi memulihkan sebahagian besar penurunan yang dialami sebelum itu.

Aliran menurun yang sememangnya dijangkakan ini menyebabkan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 510 berbanding 378, manakala 362 kaunter tidak berubah, 1,082 kaunter tidak diniagakan dan 48 yang lain digantung bagi keseluruhan pasaran.

Bagaimanapun, jumlah dagangan melonjak kepada 4.29 bilion unit bernilai RM2.5 bilion daripada 2.63 bilion unit bernilai RM1.85 bilion pada Khamis minggu lepas. – BERNAMA

Loading...
Terkini