comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup rendah susulan sentimen serantau bercampur – campur

FOTO: NSTP

​​​​​​​KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan minggu ini dengan prestasi rendah pada Jumaat, mencerminkan sentimen bercampur-campur dalam bursa serantau apabila kenaikan kukuh berterusan yang dicetuskan oleh tanda-tanda inflasi Amerika Syarikat (AS) yang mereda semakin berkurangan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.85 mata atau 0.18 peratus kepada 1,607.32 daripada 1,610.17 ketika ditutup pada Khamis.

FBM KLCI dibuka 0.83 mata lebih tinggi kepada 1,611 dan bergerak serendah 1,604.48 dan setinggi 1,611.90.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 677 berbanding 561, manakala 469 kaunter tidak berubah, 702 kaunter tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurang kepada 5.64 bilion unit bernilai RM3.92 bilion daripada 5.91 bilion unit bernilai RM4.35 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI terkekang dalam keadaan tidak banyak berubah memandangkan pelabur kekal berhati-hati atas sebab sedemikian.

Beliau berkata prospek kadar faedah AS sedang dipertimbangkan oleh pelabur selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) mengubah pandangannya mengenai pengurangan kadar faedah, walaupun data inflasi lebih rendah berbanding jangkaan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini