comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup tinggi berikutan belian semasa harga rendah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan hari ini lebih tinggi berikutan belian semasa harga rendah selepas jualan besar-besaran semalam.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 0.30 peratus atau meningkat 4.44 mata kepada 1,439.77 daripada 1,435.33 sewaktu ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka mengukuh 0.61 mata kepada 1,435.94 sebelum bergerak antara 1,435.86 dan 1,441.35 sepanjang sesi dagangan.

Keseluruhan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 575 kepada 300, manakala 425 kaunter tidak berubah, 1,050 tidak diniagakan dan 14 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.38 bilion unit bernilai RM1.93 bilion daripada 2.79 bilion unit bernilai RM1.79 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama turut menunjukkan peningkatan positif memandangkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah penanda arasnya sekali gus mewujudkan sentimen optimis.

“Kami percaya unjuran kepada ekuiti serantau kekal positif berikutan jangkaan kadar faedah yang menggalakkan.

“Di dalam negara, kami positif terhadap keputusan untuk menghentikan sementara kenaikan di AS dan Eropah dan kami mengunjurkan sentimen pelabur meningkat dalam masa terdekat ini,” kata Thong kepada Bernama.

Sementara itu, mengulas keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus ketika mesyuarat terakhirnya untuk 2023 hari ini, seorang penganalisis berkata langkah itu positif kepada ekonomi berikutan banyak pihak masih membuat penyesuaian dengan kenaikan OPR sebelum ini dan peningkatan kos sara hidup selepas pandemik.

Loading...
Terkini