comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup tinggi, didorong belian saham harga murah

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Selasa, susulan kegiatan pembelian saham semasa harga murah ekoran penjualan besar-besaran semalam.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.10 mata kepada 1,445.55 daripada 1,443.45 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks pandu pasaran itu dibuka 0.66 mata lebih rendah kepada 1,442.79 sebelum bergerak di antara 1,441.89 dengan 1,447.05 sepanjang dagangan hari ini.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 564 berbanding 367, manakala 451 kaunter tidak berubah, 1,006 kaunter tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.15 bilion unit bernilai RM1.95 bilion daripada 3.33 bilion unit bernilai RM2.04 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama ditutup rendah kebanyakannya berikutan kebimbangan terhadap kadar faedah lebih tinggi di Amerika Syarikat (AS), yang mungkin melembapkan sektor teknologi global.

Beliau berkata hasil Perbendaharaan AS mencecah kadar tertinggi dalam tempoh 16 tahun hari ini, justeru, mengekalkan kedekatan dolar kepada paras tertinggi dalam tempoh 10 bulan dan ini menunjukkan kadar faedah dijangka kekal tinggi dalam tempoh terdekat.

“Di peringkat domestik, kami mengunjurkan sentimen pelabur kekal berhati-hati walaupun dagangan hari ini mengalami peningkatan semula.

“Walau bagaimanapun, dengan sokongan berterusan daripada dana asing, kami yakin unjuran bagi ekuiti tempatan masih stabil,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata susulan itu, pihaknya mengekalkan sasaran FBM KLCI mingguan di antara 1,440 dengan 1,460 manakala paras sokongan serta-merta pada 1,440 serta rintangan pada 1,460.

Pada penutupan dagangan hari ini, saham berwajaran tinggi Bursa, Maybank mendatar pada RM8.87 sementara itu Public Bank, CIMB dan Petronas Chemicals masing-masing menokok satu sen kepada RM4.19, RM5.55 dan RM7.33.

Tenaga Nasional pula turun dua sen kepada RM10.12.

Bagi saham aktif, Evergreen Max Cash menambah 7.5 sen kepada 31.5 sen manakala Metronic dan KNM masing-masing meningkat setengah sen kepada 2.0 sen dan 12.5 sen; Widad dan MYEG masing-masing tidak berubah pada 50.5 sen dan 80 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 4.77 mata kepada 10,709.64; Indeks FBMT 100 naik 8.02 mata kepada 10,373.49; Indeks FBM Emas Syariah menambah 2.85 mata kepada 10,966.14; dan
Indeks FBM ACE menokok 9.95 mata kepada 5,197.83.

Walau bagaimanapun, Indeks FBM 70 kurang 19.83 mata kepada 14,264.37.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 2.06 mata kepada 6,907.26; Indeks Perkhidmatan Produk Perindustrian naik 0.03 mata kepada 174.21; Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 5.86 mata kepada 16,188.52, manakala Indeks Tenaga susut 7.32 mata kepada 888.83.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.88 bilion unit bernilai RM1.62 bilion daripada 2.22 bilion unit bernilai RM1.77 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran sebanyak 334.55 juta unit bernilai RM40.74 juta berbanding dengan 445.11 juta unit bernilai RM47.57 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 910.89 juta saham bernilai RM293.66 juta daripada 662.94 juta saham bernilai RM219.85 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 306.01 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (537.47 juta); pembinaan (110.49 juta); teknologi (145.31 juta); SPAC (tiada); perkhidmatan kewangan (61.64 juta); hartanah (321.28 juta); perladangan (27.63 juta); REIT (5.17 juta); dana tertutup (5,000); tenaga (182.20 juta); penjagaan kesihatan (60.25 juta); telekomunikasi dan media (48.53 juta); pengangkutan dan logistik (29.03 juta) serta utiliti (46.30 juta). — BERNAMA

Loading...
Terkini