comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup tinggi didorong sentimen pasaran lebih positif

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Rabu, sejajar dengan pasaran serantau susulan keadaan sentimen pasaran yang bertambah baik di peringkat global dan menjelang keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) berkaitan kadar faedah lewat hari ini.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.49 mata atau 0.39 peratus kepada 1,412.04 daripada 1,406.55 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks utama pasaran itu dibuka 2.05 mata lebih tinggi kepada 1,408.60 sebelum bergerak di antara 1,406.51 dengan 1,413.52 sepanjang dagangan.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 497 berbanding 377, manakala 408 kaunter tidak berubah, 991 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 3.12 bilion unit bernilai RM1.89 bilion daripada 3.23 bilion unit bernilai RM1.85 bilion pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menjangkakan bursa tempatan kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan di peringkat global terutama berhubung prospek dasar monetari.

“Walau bagaimanapun, kami yakin aktiviti pembelian semasa harga murah mungkin berterusan memandangkan penilaian munasabah ke atas saham di Bursa Malaysia disebabkan kedudukan terlebih jual. Justeru, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,410 hingga 1,420 bagi baki tempoh minggu ini,” katanya.

Di peringkat rantau, Indeks Straits Times Singapura meningkat 1.53 peratus kepada 3,222.50; Indeks Hang Seng Hong Kong menokok 1.73 peratus kepada 19,591.43; Nikkei 225 Jepun melonjak 1.93 peratus kepada 27,466.61 manakala Indeks Komposit SSE China menambah 0.31 peratus kepada 3,265.75.

Antara saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank melonjak 15 sen kepada RM8.55; Public Bank dan CIMB masing-masing menambah satu sen kepada RM4 dan RM5.20; Tenaga Nasional meningkat lima sen kepada RM9.52; IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.88 manakala Petronas Chemicals susut tiga sen kepada RM6.79.

Antara saham aktif, Green Packet dan Hong Seng Consolidated masing-masing tidak berubah pada 4.5 sen dan 13.5 sen; Top Glove turun satu sen kepada 95 sen; Computer Forms merosot 18 sen kepada 43.5 sendan MY E.G. susut 2.5 sen kepada 70.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 31.96 mata kepada 10,322.74; Indeks FBMT 100 menokok 29.27 mata kepada 10,016.60 dan Indeks FBM 70 menambah 1.32 mata kepada 13,289.13.

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 8.09 mata kepada 10,626.37 dan Indeks FBM ACE naik 40.63 mata kepada 5,301.68.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 112.92 mata kepada 15,647.0; Indeks Tenaga meningkat 10.86 mata kepada 806.09; Indeks Perladangan kurang 3.14 mata kepada 6,749.18 manakala Indeks Produk dan

Perkhidmatan Perindustrian turun 0.30 mata kepada 166.71.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.04 bilion saham bernilai RM1.59 bilion daripada 2.07 bilion saham bernilai RM1.59 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 422.09 juta unit bernilai RM64.29 juta daripada 358.33 juta unit bernilai RM61.74 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 648.05 juta saham bernilai RM232.34 juta berbanding 778.95 juta saham bernilai RM201.03 juta pada Selasa.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 375.12 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (507.35 juta); pembinaan (36.86 juta); teknologi (227.60 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (87.98 juta); hartanah (132.91 juta); perladangan (29.98 juta); REIT (66.69 juta); dana tertutup (47,000); tenaga (195.17 juta); penjagaan kesihatan (255.25 juta); telekomunikasi dan media (131.30 juta); pengangkutan dan logistik (21.38 juta); serta utiliti (28.78 juta). – BERNAMA

Loading...
Terkini