comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup tinggi, disokong kenaikan saham wajaran tinggi

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia ditutup tinggi selepas sesi dagangan tidak menentu, disokong oleh kenaikan dalam saham wajaran tinggi terpilih yang diterajui oleh Press Metal and CelcomDigi.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.95 mata untuk ditutup kepada 1,404.93 berbanding dengan paras penutup 1,402.98 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka tinggi naik 2.49 mata kepada 1,405.47 pada pagi ini dan bergerak antara paras 1,401.93 dan 1,406.53 sepanjang hari dagangan.

Bagaimanapun, keseluruhan pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 449 berbanding 376, manakala 445 kaunter tidak berubah, 1,005 tidak diniagakan dan 53 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.73 bilion unit bernilai RM1.87 bilion daripada 2.44 bilion unit bernilai RM2.28 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata bagaimanapun kenaikan tersebut terhad susulan pendekatan berhati-hati para pelabur terhadap impak inflasi serta kebimbangan terhadap kemelesetan di Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata FBM KLCI diniagakan tinggi hari ini apabila aktiviti membeli saham berhargaa rendah muncul susulan jualan pada minggu lepas.

“Kami merasakan jualan dalam beberapa sesi dagangan lepas akan membantu peningkatan kerana penilaian indeks utama menjadi lebih menarik ditambah dengan keadaan ekonomi tempatan yang bertambah baik.

“Oleh itu, kami menjangka aktiviti membeli saham berharga rendah akan berterusan dan mengunjurkan FBM KLCI diniagakan tinggi dalam jajaran 1,400-1,415 bagi minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata di pasaran serantau, indeks utama ditutup kebanyakannya tinggi selepas Presiden AS Joe Biden dan Speaker Dewan Kevin McCarthy mencapai persetujuan akhir mengenai isu menaikkan had siling hutang nasional.

Loading...
Terkini