
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini dengan indeks petunjuk pasaran meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lebih daripada lapan bulan sebanyak 1.02 peratus disokong oleh momentum belian susulan sentimen pasaran serantau yang bertambah baik, kata seorang penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 14.74 mata untuk ditutup kepada 1,464.67 daripada paras penutup 1,449.93 pada Jumaat minggu lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 2.46 mata kepada 1,452.39 dan bergerak antara paras 1,452.29 dan 1,464.67 sepanjang sesi dagangan.
Keseluruhan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 665 berbanding 284, manakala 441 kaunter tidak berubah, 961 tidak diniagakan dan 22 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.76 bilion unit bernilai RM2.34 bilion daripada 3.60 bilion unit bernilai RM2.02 bilion pada Jumaat.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau juga mencatatkan aliran meningkat susulan keyakinan tinggi bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) akan menamatkan siri kenaikan kadar faedahnya.
Dalam masa yang sama, katanya, hasil Perbendaharaan 10 tahun AS menyusut kepada 4.58 peratus awal Isnin, turun daripada paras kemuncak melebihi 5.0 peratus pada dua minggu lepas.
“Bagi pasaran tempatan kami yakin dengan prospek untuk tempoh terdekat hingga sederhana memandangkan peningkatan sentimen pasaran tempatan dan aliran masuk asing yang kembali semula ke dalam pasaran,” kata Thong kepada Bernama.
Sementara itu, rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata penurunan hasil bon AS dan ekonominya yang kekal dalam keseimbangan bermakna Fed AS akan kurang mempengaruhi dasar pada masa depan.