comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup tinggi, melepasi paras 1,602

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Sokongan berterusan di peringkat tempatan membantu Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini walaupun prestasi serantau tidak begitu memberangsangkan berikutan pengambilan untung dalam pasaran tertentu.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.24 mata kepada 1,602.91 berbanding 1,600.67 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 1.63 mata lebih tinggi pada 1,602.30, bergerak antara 1,600.43 dan 1,604.80 pada sepanjang sesi dagangan itu.

Pada keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 642 kepada 494, manakala 505 tidak berubah, 709 tidak diniagakan dan 27 digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 4.52 bilion unit bernilai RM3.01 bilion berbanding 4.62 bilion unit bernilai RM3.67 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata FBM KLCI mengekalkan prestasi aliran menaiknya susulan pembelian dalam produk dan perkhidmatan pengguna, saham perladangan dan perbankan.

“Kami kekal positif terhadap ekuiti tempatan, disokong oleh asas kukuh, penilaian menarik, potensi semakin meningkat dan aliran masuk dana asing.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan indeks akan berlegar dalam julat 1,600-1,620 minggu ini dengan paras sokongan serta-merta pada 1,600 diikuti 1,585 dan paras rintangan pada 1,615,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kebanyakan saham China menghadapi tekanan menurun dalam persekitaran jangkaan bahawa pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan mengumumkan rancangan minggu ini untuk meningkatkan tarif ke atas kenderaan elektrik, semikonduktor, peralatan solar dan bekalan perubatan diimport dari China.

“Melihat dari sudut positif, laporan itu menunjukkan bahawa pihak berkuasa di Beijing sedang membuat persediaan untuk terbitan satu trilion yuan (RM653.7 bilion) dalam bon matang lebih lama untuk menyokong langkah rangsangan domestik.

“Ia akan mengakibatkan saham Hong Kong ditutup dengan keuntungan selanjutnya apabila peniaga mengalu-alukan berita tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan, UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata arah pasaran pada minggu akan dipengaruhi oleh peristiwa penting seperti laporan Indeks Harga Pengeluar (IHP) April AS dijadualkan akan dikeluarkan pada Selasa diikuti oleh Indeks Harga Pengguna (IHP) pada hari Rabu.

Selain itu, perhatian akan diberikan pada pengumuman angka ekonomi Bank Negara Malaysia bagi suku pertama 2024 pada Jumaat ini. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini