comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit hari ini disokong oleh belian sederhana dalam saham wajaran tinggi terpilih di tengah-tengah prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.91 mata kepada 1,383.17 daripada paras penutup 1,381.26 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks utama dibuka tinggi naik 0.84 mata kepada 1,382.10 dan bergerak antara paras 1,377.35 dan 1,383.58  sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun, keseluruhan pasaran negatif dengan 507 kaunter rugi berbanding 355 kaunter untung, manakala 413 kaunter tidak berubah, 968 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.55 bilion unit bernilai RM1.92 bilion daripada 3.60 bilion unit bernilai RM1.94 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau dipengaruhi oleh reaksi bercampur-campur para pelabur selepas pengumuman data ekonomi sektor perkhidmatan Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah daripada jangkaan pada Mei.

Data terkini itu menunjukkan beberapa petanda kelemahan ekonomi di AS, katanya kepada Bernama.

“Aktiviti dagangan di seluruh rantau kekal agak lemah ketika para pelabur menunggu hasil mesyuarat Rizab Persekutuan AS pada minggu depan,” katanya. — BERNAMA

Loading...
Terkini