
KUALA LUMPUR: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup tinggi daripada penurunan semalam pada Selasa dalam persekitaran prestasi pasaran serantau dengan jangkaan lebih banyak langkah rangsangan daripada China akan berlaku.
Pada 5 petang, FBM KLCI meningkat 10.38 mata kepada 1,454.44 berbanding paras penutup 1,444.06 semalam.
Petunjuk pasaran dibuka rendah 0.59 mata kepada 1,443.47 dan bergerak antara paras 1,441.52 dan 1,455.80 sepanjang sesi dagangan.
Bagaimanapun, pada keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 535 berbanding 505, manakala 338 kaunter tidak berubah, 951 tidak diniagakan dan 71 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 4.02 bilion unit bernilai RM2.85 bilion berbanding 4.46 bilion unit bernilai RM2.84 bilion pada Isnin.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata FBM KLCI mengalami peningkatan yang baik hari ini, menjelang seminggu pengumuman data ekonomi Amerika Syarikat.
Petunjuk ekonomi utama AS minggu ini akan memberi pengesahan mengenai keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai kadar faedah.
“Kenaikan saham di China secara berterusan untuk sesi kedua berturut-turut, didorong oleh jangkaan akan berlaku tindakan rangsangan tambahan, ia telah membantu pasaran tempatan yang mendapat inspirasi daripada prestasi semalaman Wall Street yang positif.
“Peserta pasaran kekal responsif terhadap sebarang petunjuk campur tangan rangsangan selanjutnya di China, yang boleh melonjakkan pasaran lebih tinggi,” katanya kepada Bernama. – BERNAMA