comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup tinggi susulan aktiviti belian saham berharga rendah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Isnin susulan aktiviti belian lewat saham berharga rendah dengan sokongan dalam pasaran yang lebih luas terutamanya dilihat dalam saham tenaga bermodal kecil serta saham pengangkutan dan logistik.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.84 mata kepada 1,499.39 daripada 1,497.55 pada Jumaat.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka tinggi naik 2.20 mata kepada 1,499.75, bergerak antara paras 1,494.15 dan 1,500.95 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 478 berbanding 472, manakala 395 kaunter tidak berubah, 873 tidak diniagakan dan 54 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 4.56 bilion unit bernilai RM2.44 bilion daripada 4.62 bilion unit bernilai RM2.42 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Mengulas mengenai prestasi pasaran hari ini, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pemangkin pasaran sekali lagi terperangkap dalam mod penyatuan yang ketat kerana kekurangan pemangkin baharu.

“Bagaimanapun, kami berpendapat prospek ekuiti tempatan kekal stabil berikutan penilaian semasa yang rendah manakala asas ekonomi tempatan kekal kukuh. Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan berada dalam aliran dalam lingkungan 1,490 kepada 1,505 untuk minggu ini dengan paras rintangan serta-merta pada 1,500 dan paras sokongan pada 1,470,” katanya kepada Bernama.

Mengenai pasaran saham serantau, Thong berkata pasaran utama ditutup secara amnya lebih rendah menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dan data ekonomi utama yang akan dikeluarkan minggu ini.

“Walaupun Fed AS dijangka akan menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas, prospek terhadap dasar monetari akan dipantau dengan teliti,” katanya.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun meningkat 0.19 peratus kepada 27,433.40, Hang Seng Kong jatuh 2.73 peratus kepada 22,069.73, Indeks Straits Times Singapura merosot 0.47 peratus kepada 3,378.29 dan Kospi Korea Selatan berkurangan 1.35 peratus kepada 2,450.47.

Di dalam negara, saham wajaran tinggi Maybank dan CIMB naik empat sen kepada masing-masing RM8.78 dan RM5.78, Public Bank bertambah satu sen kepada RM4.26 manakala Petronas Chemicals melonjak tiga sen kepada RM8.45 dan merosot empat sen kepada RM9.51.

Dalam kalangan kaunter cergas, Hong Seng Consolidated bertambah 2.5 sen kepada 20.5 sen manakala warannya meningkat 0.5 sen kepada dua sen, Zen Tech melonjak 1.5 sen kepada 6.5 sen, ATA IMS melonjak 2.5 sen kepada 43 sen dan Valesto menokok satu sen kepada 23 sen.

Di papan indeks, FBM ACE meningkat 16.27 mata kepada 10,909.63, Indeks FBMT 100 naik 13.55 mata kepada 10,577.46 dan Indeks FBM Emas Shahriah menokok 12.08 mata kepada 11,189.63, Indeks FBM 70 bertambah 20.26 mata kepada 13,780.10 dan Indeks FBM ACE melonjak 27.28 mata kepada 5,758.51.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 0.53 mata kepada 191.30, Indeks Tenaga bertambah 12.53 mata kepada 893.29, Indeks Perladangan bertambah 8.83 mata kepada 6,850.06 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 67.86 mata kepada 16,538.05.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.08 bilion saham bernilai RM2.03 bilion daripada 2.88 bilion saham bernilai RM2.02 bilion pada Jumaat.

Dalam pada itu, jumlah dagangan waran berkurangan kepada 349.42 juta unit bernilai RM58.05 juta berbanding 419.36 juta unit bernilai RM57.86 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 1.13 juta sajam bernilai RM347.61 juta daripada 1.32 bilion saham bernilai RM345.66 juta pada Jumaat. – BERNAMA

Loading...
Terkini