comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup tinggi susulan keyakinan pelabur

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ekuiti Malaysia ditutup kebanyakannya positif minggu ini mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur selepas Amerika Syarikat (AS) menghentikan seketika kenaikan kadar faedahnya.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.70 peratus atau 10.16 mata lebih tinggi untuk ditutup kepada 1,449.93 daripada paras penutup 1,439.77 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi meningkat 7.86 mata kepada 1,447.63 dan bergerak antara paras 1,444.79 dan 1,453.19 sepanjang sesi dagangan.

Keseluruhan pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 621 berbanding 309, manakala 440 kaunter tidak berubah, 981 tidak diniagakan dan 22 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.60 bilion unit bernilai RM2.02 bilion daripada 3.38 bilion unit bernilai RM1.93 bilion pada Khamis.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau meningkat tinggi, terutamanya di Hong Kong, dengan minat belian tertumpu terutamanya kepada saham berkaitan teknologi, pengguna dan tenaga, mendapat dorongan daripada prestasi tinggi di Wall Street dan keyakinan tinggi bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menamatkan kitaran kenaikan kadar faedahnya.

“Bagi bursa tempatan, kami kekal optimis dan menjangkakan indeks petunjuk pasaran itu akan mengekalkan momentum beliannya mendapat rangsangan daripada keyakinan yang muncul semula,” katanya kepada Bernama.

Di Bursa Malaysia, dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Axiata dan Petronas Chemicals naik enam sen setiap satu masing-masing kepada RM2.35 dan RM7.19, Sime Darby Plantation meningkat tujuh sen kepada RM4.38, Press Metal Aluminium menokok lima sen kepada RM4.89, Tenaga Nasional menambah tujuh sen kepada RM9.97 dan MISC melonjak sembilan sen kepada RM7.30.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat sedikit kepada 1.94 bilion unit bernilai RM1.71 bilion berbanding 1.93 bilion unit bernilai RM1.61 bilion pada Khamis.

Loading...
Terkini