comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari ekoran pengambilan untung

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan sesi pagi dengan prestasi rendah, dipengaruhi oleh pengambilan untung berterusan dalam kaunter wajaran tinggi terpilih, kata peniaga.

Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.34 mata kepada 1,461.87 daripada 1,468.21 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Indeks utama pasaran itu dibuka 0.78 mata lebih baik kepada 1,468.99.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 421 berbanding 349, manakala 361 kaunter tidak berubah; 1,194 kaunter tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.57 bilion unit bernilai RM707.01 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pihaknya menjangkakan indeks utama bergerak dalam julat 1,460 hingga 1,475 hari ini walaupun berlaku aktiviti pengambilan untung sekejap-sekejap.

“Kami berpandangan bursa tempatan akan kekal tinggi susulan penutupan tertinggi dalam tempoh sebulan pada hampir paras 1,470 Jumaat lepas, didorong oleh pemulihan positif ekuiti global dan data ekonomi Malaysia yang memberangsangkan bagi suku ketiga 2022,” katanya kepada Bernama.

Malacca Securities Sdn Bhd turut senada apabila berpendapat bahawa bursa tempatan diunjurkan kekal berdaya tahan, mengambil petunjuk daripada  Wall Street yang positif pada minggu lepas.

Ia menjelaskan pelabur mungkin memberi perhatian kepada data ekonomi Amerika Syarikat seperti jualan runcit dan angka pekerjaan kerana semua itu mungkin memberikan lebih banyak petunjuk mengenai tahap agresif Rizab Persekutuan AS dalam menaikkan kadar faedah yang akan datang.

“Dari segi komoditi, harga minyak mentah melonjak melebihi US$95 setong memandangkan pasaran menyambut baik pelonggaran sekatan COVID-19 di China, manakala harga minyak sawit mentah meningkat melebihi RM4,250 satu tan,” tambahnya. – BERNAMA

Loading...
Terkini