comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia kembali meningkat pada sesi awal dagangan 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menebus kerugian yang dialami semalam dan dibuka lebih tinggi pagi ini, didorong oleh minat belian sederhana dalam saham wajaran tinggi terpilih selepas pasaran serantau mempamerkan sentimen bercampur-campur, kata seorang peniaga.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sedikit sebanyak 1.22 mata kepada 1,442.57 daripada penutupan Selasa pada 1,441.35.

Pasaran mengukuh 2.27 mata pada ketika memulakan dagangan pagi ini.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 145 berbalas 106, manakala 205 kaunter tidak berubah, 1,859 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 184.46 juta unit bernilai RM43.57 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, Wall Street meneruskan aliran menaiknya sambil para peniaga menantikan keputusan pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat, dengan ramai menjangkakan Parti Republikan mampu memberikan tekanan kepada Presiden Joe Biden.

“Purata Perindustrian Dow Jones melonjak 334 mata lebih tinggi manakala Nasdaq menambah 52 mata apabila hasil AS (Perbendaharaan) 10 tahun susut kepada 4.13 peratus,” katanya kepada Bernama.

Di pasaran tempatan, beliau menjangkakan FBM KLCI berada dalam julat antara 1,435 dan 1,450 hari ini memandangkan pasaran serantau mungkin terus menunjukkan prestasi bercampur-campur menjelang keputusan pilihan raya AS.

“Turut diunjurkan juga saham perladangan, minyak dan gas kemungkinan mengalami tekanan jualan hari ini berikutan kelemahan harga minyak sawit mentah dan minyak mentah,” katanya.-BERNAMA

Loading...
Terkini